Sunday, 18 November 2012

WARNA-WARNA ABADI

WARNA-WARNA ABADI

Di bunga-bunga senja ini
aku berdiri, memerhati dan menghayati
akan keagungan ciptaanNya
tersisip pesona keindahan
yang tergambar dalam warna-warna merah ungu
menyirami alam dengan cahaya keredupannya
seredup hatiku menganguminya.

Terpaku pada setiap jaluran warnanya
tiap warna ada maksud
maksud yang perlu diselami
bukan dengan akal tapi dengan nurani
nurani insani ciptaan Ilahi.

Aku akan terus di sini
biarpun membatu dari masyriq hingga ke maghrib
demi keindahan abadi…keindahan Ilahi
keindahan hakiki.

Qalam Bertinta
11112012
2339pm

TUHAN ITU ADIL

TUHAN ITU ADIL

Aku tidak pernah meminta
kaumuncul dalam cintaku
namun Dia yang menghantarmu kepadaku
untuk aku cintaimu
andai cintaku tidak kauperlukan…pergilah
carilah cinta yang lain kerna aku tahu
Tuhan itu adil
pasti pada satu waktu nanti
Dia akan memberikan aku cinta yang lain
cinta yang lebih indah
dari apa yang pernah kauberikan dulu.

Qalam Bertinta
04112012
0955am

TANPA DENDAM DAN BENCI

TANPA DENDAM DAN BENCI

Berpalingku bukan kerana dendam
berpalingku juga bukan kerana benci
cuma aku tidak sanggup melihat kauberlalu
melihat setiap jejak yang kautinggalkan
kerana pada setiap langkahanmu
ada dendam yang kautinggalkan
ada benci yang kaupamerkan
kerna jika pemergianmu
kusoroti dengan pandanganku
aku pasti…dan amat pasti
dendam dan benciku
melebihi dari dendam dan benci
yang kautinggalkan.

Qalam Bertinta
04112012
2049pm.

TANAH INI TANAH KITA

TANAH INI TANAH KITA

Tanah ini tanah kita
kita yang menebang hutannya
kita yang memerun semuanya
kita yang menggemburkannya
hinggakan terang benderang
dan kita juga yang menyemai
benih-benih kehidupan di sini
hingga menjadi akar tunjang
yang membelit seluruh tubuh kita
menjadi jitu.

Tanah ini tanah kita
bukan hanya dengan keringat dan airmata
tetapi dengan darah dan nyawa sekalipun
wajib kita pertahankan
agar anak cucu kita nanti
tidak dikatakan
merempat di tanah sendiri
atau meminta sedekah
di tanah yang kita katakan
tanah kita.

Qalam Bertinta
15112012
1307pm.

SETIAKU MASIH DI SINI


SETIAKU MASIH DI SINI

Andai tangisan bisa membuatkan kautenang
menangislah sepuasmu
biarkan semua kesalmu
mengalir bersama disetiap titis airmatamu
dan di sini
aku setia menantimu
untuk kauhulurkan sebait senyum
kerana sesungguhnya
menunggumu
bukan satu penyiksaan bagiku.

Qalam Bertinta
15112012

SENDIRI DALAM KEPAYAHAN


SENDIRI DALAM KEPAYAHAN

Di sini
di kala senja mula mengiraikan sayapnya
aku sendirian dalam kepayahan
mengheret semua kepedihan
yang kautinggalkan
bersama rinai airmata
yang tak pernah usai.

Bertemankan sepi
aku membilang hari-hari suramku
dalam bayangan kenangan
lalu membawa aku
ke daerah yang penuh duka
cuba berselindung di sebalik senyum
namun tawar…setawar cinta yang kauberikan.

Dan di penghujung sepi ini
semakin aku sedari
sendiri adalah teman setiaku
menemani pada setiap jaga dan lenaku
pun rinduku semakin membias
hilang bersama rasa cintaku
cinta yang telah kusemadikan
buat selama-lamanya.

Dan airmataku semakin melaju!... .

Qalam Bertinta
04112012
1901pm



SELAMAT PAGI


SELAMAT PAGI

Selamat pagi!
biarkan hening pagi
memulakan harimu
dengan memanjatkan syukur pada Ilahi
kerna memberimu kesempatan
untuk merasai dingin dan nyamannya pagi
bagi sehari lagi dalam hidupmu.

Selamat pagi!
biarkan mulusnya angin pagi
membaluti seluruh tubuhmu
agar kedinginannya memberikan kausemangat
untuk kaumeneruskan kembali
akan apa yang kautinggalkan semalam.

Selamat pagi!
biarkan semangatmu pagi ini
memberikan tekad dan usaha
untuk kauterus menjalani hari-harimu
dengan rasa tawadduk dan terima kasih
kepada Penciptamu
yang menaungi setiap saat
akan hidupmu.

Qalam Bertinta
11112012
0839am


SECUPAK TAKKAN JADI SEGANTANG


SECUPAK TAKKAN JADI SEGANTANG

Andai diri bersikap pemalas
peribahasa ini memang sesuai sekali
kerna kemalasan tidak akan mengubah
diri dan kehidupan sendiri
sekadar mungkin akan menyusahkan
orang-orang di sekeliling
yang membuatkan
semuanya akan menjadi pening
kerana kerenah malasnya
yang tak terbanding
dengan orang lain.

Qalam Bertinta
17112012
1845pm

RESAH YANG BERSAMBUNG


RESAH YANG BERSAMBUNG

Kucicipi resah malam
tika lenaku seakan terganggu
menatap tenda biru
di lelangit kelam
cuba memujuk hati
dalam walang yang tak berhenti
lalu aku rebah pada luka semalam
dan resahku pun bersambung.

Qalam Bertinta
11112012
1927pm

PENTAS PENGUASA GILA


PENTAS PENGUASA GILA

Tersirat dalam seribu bahasa bangsa
mencangkup lelah ketika cuba bersuara
bergegar paksi alam angkara murka
bertaup telapak tangan di dada
menyembah kuasa dalam dunia yang dicipta segila-gilanya
berketontang menyebar kuman-kuman dusta
sedang anak bangsa bergayutan resah
mengira beras secupak agar menjadi segantang
ketika bahasa bangsa masih lagi berjejeran di bibir penguasa
menuba dalam kemanisan serawa
bergelimpangan mati semua asa
sedang di istana sana
riuh dengan tawa menggila
tanpa peduli jerit tangis naluri jelata
memboyot perut dengan najis noda
peduli apa dengan dosa
jembalang hati diusap dan dipuja
agar di persada takhta masih tegak beraja
menggumpul semua kuasa dalam balang minda
dan agenda dusta pun terus bermaharajalela.

MUSTAHIL MENCINTAIMU SEMULA


MUSTAHIL MENCINTAIMU SEMULA

Andai kaupergi
usahlah kembali lagi
kerna aku tidak akan seperti dulu
untuk mencintaimu semula
adalah perkara terakhir
yang akan kulakukan
diseumur usiaku.

Qalam Bertinta
11112012
1025am

MENCARI NAUNGAN CINTAKU


MENCARI NAUNGAN CINTAKU

Andai cintaku satu bebanan
lepaskanlah ia pergi
akan kubiarkan cintaku berkelana
dalam mencari satu persinggahan
tempat untuk cintaku bernaung
agar kekal dan abadi di sana
selama-lamanya.

Qalam Bertinta
10112012
1141am

KELUKAAN YANG KUSEMADIKAN


KELUKAAN YANG KUSEMADIKAN

Kulakarkan kesedihan ini
nun jauh ke juzuk bumi
biar ianya bersemadi di
sana
tanpa sesiapa yang tahu
tanpa sesiapa yang mengerti
tanpa sesiapa yang memahami
betapa terlukanya hati
seorang aku.

Qalam Bertinta
17112012
1057am

IKHLAS


IKHLAS

Ketika wajah ini penat memikirkan dunia
maka berwudhulah
ketika tangan ini letih menggapai cita-cita
maka bertakbirlah
ketika pundak tak kuasa memikul amanah
maka bersujudlah
ikhlaskan semuanya dan mendekatlah padaNya
agar tunduk di saat yang lain angkuh
agar teguh di saat yang lain runtuh
agar tegar di saat yang lain terdampar.

Qalam Bertinta
15112012
1529pm

HATI SEORANG KEKASIH


HATI SEORANG KEKASIH

Bertemulah cinta di muara kasih
lalu rindu pun mengalir malu
menyapa cinta
yang kini sudah berteman.
dan menyemilirlah angin sayang
dalam raupan lembut
membelai jiwa…mengusap rasa
hati seorang kekasih!... .

Qalam Bertinta
10112012
1953pm

HANYUT DALAM PASRAH


HANYUT DALAM PASRAH

Dalam mengenangi ruh cinta ini
aku langsung terhanyut
dek badai kenangan
lalu terdampar di pantai duka
dan karang-karang itu adalah engkau
yang membentangkan tenda merah
merah darah
tempat aku berbaring
dan sengsara datang lagi.

Cuba menyisihkan satu demi satu
buih-buih ombak
yang jadi airmata…jadi sendu
lalu takdirku rebah
dan semakin menghanyutkan aku
ketika tajamnya karang-karangmu
masih menjadi tenda pembaringanku.

Dalam keterpaksaan aku pasrah
hanya berserah tapi bukan mengalah
cuma lelah!... .

Qalam Bertinta
07112012
2227pm


GUGURNYA DEDAUN HARAP


GUGURNYA DEDAUN HARAP

Ketika aku sendirian
kaudatang menghulur salam
membawa bersama daun-daun harap
yang akhirnya menjadi pepohon cinta
merimbun dan menaungi kasih sayang kita.

Dan ketika ini
di saat aku kembali sendirian
salamku tidak bersambut
pepohon cinta rapuh kekeringan
daun-daun harap gugur satu persatu
dan kasih sayang kita pun
bertebaran tanpa naungan.

Pun di sini
di bawah pepohon cinta
yang kian merebah
kusandarkan semua harapan
agar di hari yang mendatang
akan kudengar sapaan lembut

…lalu mengajakku pulang!... .

Qalam Bertinta
13112012
1009am

GERIMIS RINDU YANG TERPILU


GERIMIS RINDU YANG TERPILU

Kutadah gerimis rindu ini
dengan bejana cintaku
menakung setiap titis yang jatuh
agar dapat kubasahi
hati yang kering ini
dalam larut cebisan kenangan
kenangan cinta yang terhumban.

Rindu
mengapa kauhadir
tika jendela asmara ini telah kututup
kerana aku tidak ingin tubuhku
dijamah oleh angin ingatan
ingatan sendu yang berlagu pilu.

Cinta
salahkah aku untuk bersamamu
ketika lembut ketukanmu memanggil aku
agar kubuka pintu kamar hati ini
dan mengundangmu masuk
untuk kita saling memiliki.

Gerimis rindu ini masih kutadah
namun tidak lagi dengan bejana cintaku
tapi dengan raut wajahku
agar gerimis rindu dan airmataku
jadi satu.

Dan kecewaku pun semakin terpilu!...

Qalam Bertinta
12112012
2209pm

DI BERANDA LANTAI SYURGAMU


DI BERANDA LANTAI SYURGAMU

Jika esok diri ini kembali menjadi aku
Kudoakan dalam rindu
Semoga cinta dan kedamaian
Tak pernah mengenal arti selamat tinggal
Kuberharap malamku akan setia hingga f ajar tiba
Untuk selalu mendakap hatiku
Dan bila kesendirian
Kuharus bersaksi dalam takdir
Apa pun yang terjadi
Akan kulepaskan airmata ini dengan senyuman
Demi mengumandangkan zikir
Di beranda lantai syurgaMu

Qalam Bertinta
04022012
2240pm


DALAM DOAKU DI AWAL MUHARRAM


DALAM DOAKU DI AWAL MUHARRAM

Kututupkan pandanganku
kubuka pandangan minda
merenung kebesaranNya
betapa setiap kejadian
punya makna yang tersirat
yang penuh dengan nikmat dan rahmat
dan yang tak terjangkau dek hukum akal.

Ah…betapa kerdilnya aku
yang berdiri di antara bumi dan langitMu
yang hidup dan matiku dalam pemerhatianMu
yang susah dan senangku dalam pemberianMu
yang zahir untukku dan ghaib rahsiaMu
dan taubatku adalah hakMu.

Dalam doaku di awal Muharram ini
kupohon kekuatan dariMu
agar Kau-berikan aku semangat
seperti semangat yang Kau-kurniakan
kepada KekasihMu Muhammad
moga dapat kuteruskan hidup dan matiku
hanya untukMu.

Ya Allah!
hanya Kau-Tuhanku yang Satu.

Qalam Bertinta
14112012
2017pm
 

CUTI SEKOLAH DATANG LAGI


CUTI SEKOLAH DATANG LAGI

Cuti sekolah datang lagi
pada yang bersekolah, gembiranya tak terperi
memang inilah yang dinanti-nanti
boleh rehat sepuas hati
tak perlu mengadap buku setiap hari
dan tak ada “exam” yang menanti.

Ibu bapa mulalah tak senang hati
kerna banyak yang dah ditaburi janji
nak bawa berjalan ke sana sini
Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Langkawi
paling tidak pun balik kampong jumpa opah dan aki.

Doktor-doktor di klinik pun sibuk sekali
memenuhi tempahan yang banyak tak terperi
dari pagi sampai petang tak henti-henti
macam-macam kerenah yang boleh di perhati
ada yang senyap dan ada yang macam gempa bumi.

Pada yang nak jadi Raja Sehari
dah tentu tak sabarnya menanti
maklumlah tercapai sudah hajat di hati
nak jadi seorang suami atau isteri
taklah tidur malam seorang diri lagi.

Ini sendaloka musim cuti
sekadar untuk hiburan hati
jika terkasar haraf dimaafi
Qalam Bertinta mohon undur diri
cuti tahun depan kita jumpa lagi.

Qalam Bertinta
09112012
2001pm


CINTA BUKAN DARI JANUARI HINGGA DISEMBER


CINTA BUKAN DARI JANUARI HINGGA DISEMBER

Kau bukan gulungan ombak
tapi nyatanya kau datang
hanya untuk meninggalkanku
kau bukan puisi
tapi kau bisa memberi bait indah dalam takdirku
kau bukan embun pagi
tetapi sentuhanmu
mampu menyejukan setiap jengkal tubuhku.

Aku mungkin bukan yang terbaik buatmu
tapi aku akan jadikan kau yg terbaik
yang pernah aku temui dalam cintaku
mengelus setiap rasa yg ada
menitip doa pada setiap sujudmu
agar kebahgiaan sentiasa ada di antara kita.

Aku akan kembali memungut
semua serpihan cinta yang terhumban
kerana cintaku bukanlah permainan
cintaku juga bukan di mulai dari Januari
dan berakhir Disember
tapi ianya untuk hari ini
esok dan selamanya
biarpun datangnya hanya sesaat.

Qalam Bertinta
29022012
0941am

BUTAMU DALAM MENAFSIR


BUTAMU DALAM MENAFSIR

Mengapa harus dipalu rebana amarah
tika nada gemerincing mula mengendur
dan tika nafas teratur setelah ragu dihumban
mengeja satu persatu huruf-huruf kesal
yang berbaur dalam litup pertanyaan misteri
namun terungkap bila tingkah dipamerkan
biar cuba disorok dalam sangai hati hitam
tetap terhidu dek bauannya yang kian membusuk.

Tercabarkah kaudalam suara yang aku laungkan
hinggakan kaumenafsir dalam buta tetapi celik
menggerayang setiap aksara dengan jari jahilmu
sepertinya kauterlalu arif dalam tafsiran
merungkai maksud tersirat dengan rendahnya akalmu
sehingga telah kautelanjangi dirimu di luar batas sedarmu
terdedah tiap pekung dan kebusukan hanyir yang memualkan
namun taksubmu melangkaui cemar fikir yang nyata
membuatkan kaugigil dalam launganku
dan akalmu mula menjadi gila.

Qalam Bertinta
10112012
1037am

 



BUNGA-BUNGA KASIH PUN MERAJUK


BUNGA-BUNGA KASIH PUN MERAJUK

Terlalu banyak impian yang kukejar
banyak jua harapan
yang kubiarkan tercicir
jauh ke belakang
yang entah bila
akan dapat kukutip semula
untuk kugubah
menjadi syair indah
atau terus mengalah
demi memenuhi impian
yang kadangkalanya
tak terjangkau dek tangan.

Namun
itu jugalah bahgiaku
itu jugalah syurgaku
lalu bunga-bunga kasih pun rajuk
dan layu di taman asmara.

Dan malam ini
aku kembali sendirian merenung bulan
sendirian menghitung bintang
berdoa dan mengharap
agar pepohon asmara
kembali berbunga.

Qalam Bertinta
04112012
0125AM

BUNGA-BUNGA FITNAH MENEPIS BAHAGIA


BUNGA-BUNGA FITNAH MENEPIS BAHAGIA

Kehadiranmu umpama sinar di sebalik kabut
mendayung hidup bertemankan sepi
mempamerkan ria
karangan-karangan airmata
cuba kukutip semula untuk kujadikan mutiara
sayangnya
bunga-bunga fitnah menepis bahagia
lalu menoktahkan cinta.

Qalam Bertinta
03112012
1839pm

BUKAN KAUORANGNYA


BUKAN KAUORANGNYA

Andai kautinggalkan aku
kerana kauanggap
aku tidak sesuai denganmu
sesungguhnya kaubenar
kerna aku hanya sesuai
untuk seseorang
yang tahu menghargai akan cintaku
namun malang sama sekali
kaubukanlah orangnya.

Qalam Bertinta
16112012
1927pm

BILA KAUTUTUP BUKU DERITA, AKAN KUBUKA KITAB BAHAGIA


BILA KAUTUTUP BUKU DERITA,
AKAN KUBUKA KITAB BAHAGIA

Dulu
rinduku umpama ombak
yang tak pernah berhenti
kasihmu bagaikan pantai
yang setia menanti
dan dua hati
tidak lagi beku
apabila mentari bersinar
di langit cinta.

Kini semuanya entah ke mana
mimpiku tidak menjadi nyata
umpama burung tanpa sayapnya
kuntuman kasihku
kaucemari dengan dustamu
aku cuba tersenyum
tanpa kauketahui
senyumanku itu adalah rahsia hatiku.

Cintaku adalah pelayaran
yang tak perlukan pelabuhan
aku cuba untuk membenci
namun mengapa sesaat kaupergi
rindu itu datang lagi
letakkan cintaku ke dalam hatimu
hanya dengan itu
akan dapat kauselami
akan luka hatiku yang parah.

Dan ketahuilah
bila kaututup buku derita
akan kubuka kitab bahagia!... .

Qalam Bertinta
03112012
2009pm

BICARA HATI


BICARA HATI

Bila cinta bersuara
bibir membisu tanpa kata
rindu pun mula tersenyum
berbicaralah dua hati
dalam satu bahasa.

Qalam Bertinta
06112012
2151pm

BERSAMA SELAMANYA


BERSAMA SELAMANYA

Teriring doa
dalam setiap sujudku
mengiringi pada setiap hari-harimu
yang jauh di sana
dan perpisahan ini
tidak pernah kukesali
kerna aku tahu
walaupun raga kita terpisah
namun jiwa kita
akan tetap bersama
selama-lamanya.

Qalam Bertinta
17112012
2249pm.

BENARKAH TANAH INI TANAH KITA


BENARKAH TANAH INI TANAH KITA

Buka mata
buka telinga
jangan dibiarkan matamu buta
hanya dimomokkan dengan sekupang dua
terjalangnya tingkah
masih dianggap mercu benar.

Buka telinga
jangan dibiarkan telingamu tuli
hanya kerana omongan janji
sanggup hidung dicucuk
punggung di tendang
maruah sehasta tinggal sejengkal.

Buka mata
butakah kaudengan pandanganmu
hinggakan semuanya indah padamu
sedangkan gejolak nista bercempera
berselang dekah tawa sembunyi melata
mengacum jelata dalam nyalaan api sengketa.

Buka telinga
tulikah kaudengan nista dalam diam
hinggakan onar kausangkakan damai
menyalak pada fakta yang tak pernah di tangan
menyambung fitnah sepertinya mentari terbit malam
umpamanya neraka hanya dongengan Tok Dalang
akhirnya merempat di tanah
yang kononnya kaulaungkan
“tanah ini tanah kita.”

Qalam Bertinta
09112012
2311pm


APABILA ENGKAU KUSUNTING


APABILA ENGKAU KUSUNTING

Apabila kusunting mawar
kusunting wanginya bersama durinya
agar dapat kufahami dan rasainya
bukan hanya luaranmu
tapi juga keharuman
dan kesakitan yang kauberikan.

Apabila engkaukusunting
kusunting bersama
hati dan perasaanmu
agar dapat kumiliki
bukan hanya jasadmu
tapi juga jiwamu.

Qalam Bertinta
13112012
2325pm

ANDAI ADA RAGU


ANDAI ADA RAGU

Andai di hatimu ada ragu
sandarkanlah pada kejujuran
agar terpadam semua ragumu
dan bernafaslah
dengan penuh rasa nescaya
bahawa hidup ini
tidak selalunya mengundang derita.

Qalam Bertinta
07112012
2001pm

TANGISAN LANGIT TANGISANKU


TANGISAN LANGIT TANGISANKU

Kulewati jalanan ini
ketika langit menangis hebat
menyiram tubuh gigilku
lalu di perhentian ini
aku berhenti sejenak
mengeringkan tubuh
untuk meneruskan perjalanan
yang masih panjang lagi.

Di perhentian ini
jendela kenangan kembali terbuka
tika pertama kali engkau kutemu
di saat begini
saat langit menangis hebat
saat sapaan mengundang rasa.

Memandang semua sudut perhentian ini
masih tergambar di pandanganku
suaramu, senyummu dan malumu
membuatkan aku seperti hanyut
dalam kenangan yang panjang
bersama desir hujan
yang enggan mereda
pun semakin menggila.

Dan aku pun menangis bersama langit.

Qalam Bertinta
06102012
2219pm