Monday, 30 July 2012
CERITA YANG INGIN KUCERITAKAN
CERITA YANG INGIN KUCERITAKAN
Ingin bercerita
Pada bumi
Cerita tentang hidup
Yang semakin sempit laluannya
Dipilih oleh kebanyakan insan
Ingin bercerita
Pada langit
Cerita tentang rasa
Yang semakin hilang upayanya
Ketika hidup masih panjang
Ingin bercerita
Pada bumi
Cerita tentang kejujuran
Yang kian terpinggir
Dari hati nurani
Hingga alpa pada kejadian
Ingin bercerita
Pada mereka
Namun semuanya enggan mendengar
Kerana ceritaku
Hanya cerita bisu
Dan tidak bermakna buat mereka
Cerita ini akan terus kuceritakan…!
QALAM BERTINTA
19/05/2012/
21:45PM
BILA QALAMKU MULA MENARI
BILA QALAMKU MULA MENARI
Bila ilhamku mula menyapa
Maka qalamku pun akan mula menari
Melakar huruf-huruf roman
Satu persatu dan baris ke baris
Untuk kuterjemahkan semuanya
Dalam bait sebentuk puisi
Bila qalamku mula menari
Setiap sudut ruang akan ku isi
Dengan puisi berbagai genre
Cinta, kehidupan, alam dan politik
Tanpa minta untuk dipuji
Pun bukan juga untuk dicaci
Sekadar menghargai bakat puisi
Walaupun hanya seinci
Dan bila qalamku terus menari
Aku juga akan menari
Menari dengan sepenuh hati
Biarpun tanpa irama
Ianya tidak akan terhenti
Kerana tariku
Sekadar tarian puisi
Qalamku masih terus menari…!
Qalam Bertinta
17/05/2012
22:53pm
PINTU RINDU INI MASIH TERBUKA
PINTU RINDU INI MASIH TERBUKA
Kubuka pintu ini
Lalu menjemputmu masuk
Untuk menemani sang rindu
Yang menanti di sudut kamarnya
Dengan sisa harap yang kian memudar
Agar ada yang sudi menemani
Biarpun hanya sedetik cuma
Namun kau masih di situ
Di hadapan pintu tanpa ada sebarang gerak
Hanya berdiam dan membatu…menunduk
Dengan renungan redup dan menyuram
Tanpa suara…membisu
Menyukarkan aku untuk menafsir
Aku masih menjemputmu lagi
Biarpun di akhir sudut pandanganmu
Aku kian mengerti
Kau masih enggan melangkah biar setapak
Kerna di hujung sana
Ada satu pintu yang terbuka luas
Untuk menjemputmu ke dalam…selamanya
Dan rinduku masih di sudut kamar itu…!
Qalam Bertinta
17/05/201
11:41am
DI SINI AKU MASIH SETIA MENUNGGU
DI SINI AKU MASIH SETIA MENUNGGU
Aku masih setia di sini
Menunggumu tanpa ada selumit pun jemu
Untuk kupimpin tanganmu
Menyusur pantai keindahan
Mengutip karang-karang kering
Lalu kucantumkan satu persatu
Untuk kukalungkan ke lehermu
Bersama kalungan cintaku
Dan aku yang terus hanyut
Bersama asmaradanamu
Aku masih setia di sini
Menanti huluran kasih janjimu
Untuk bersama berbaring di hamparan rindu
Sambil menguti bintang-bintang yang gugur
Lalu kusematkan ke dadamu
Agar cahayanya akan sentiasa menerangi
Lorong-lorong indah cinta kita
Hingga ke pintu istana binaan
Yang kita bangunkan
Pun aku masih terus hanyut
Bersama asmaradanamu
Dan di sini
Aku masih setia menunggu…!
QALAM BERTINTA
19.05/2012
22:11PM
Subscribe to:
Comments (Atom)


