Sunday, 18 November 2012

WARNA-WARNA ABADI

WARNA-WARNA ABADI

Di bunga-bunga senja ini
aku berdiri, memerhati dan menghayati
akan keagungan ciptaanNya
tersisip pesona keindahan
yang tergambar dalam warna-warna merah ungu
menyirami alam dengan cahaya keredupannya
seredup hatiku menganguminya.

Terpaku pada setiap jaluran warnanya
tiap warna ada maksud
maksud yang perlu diselami
bukan dengan akal tapi dengan nurani
nurani insani ciptaan Ilahi.

Aku akan terus di sini
biarpun membatu dari masyriq hingga ke maghrib
demi keindahan abadi…keindahan Ilahi
keindahan hakiki.

Qalam Bertinta
11112012
2339pm

TUHAN ITU ADIL

TUHAN ITU ADIL

Aku tidak pernah meminta
kaumuncul dalam cintaku
namun Dia yang menghantarmu kepadaku
untuk aku cintaimu
andai cintaku tidak kauperlukan…pergilah
carilah cinta yang lain kerna aku tahu
Tuhan itu adil
pasti pada satu waktu nanti
Dia akan memberikan aku cinta yang lain
cinta yang lebih indah
dari apa yang pernah kauberikan dulu.

Qalam Bertinta
04112012
0955am

TANPA DENDAM DAN BENCI

TANPA DENDAM DAN BENCI

Berpalingku bukan kerana dendam
berpalingku juga bukan kerana benci
cuma aku tidak sanggup melihat kauberlalu
melihat setiap jejak yang kautinggalkan
kerana pada setiap langkahanmu
ada dendam yang kautinggalkan
ada benci yang kaupamerkan
kerna jika pemergianmu
kusoroti dengan pandanganku
aku pasti…dan amat pasti
dendam dan benciku
melebihi dari dendam dan benci
yang kautinggalkan.

Qalam Bertinta
04112012
2049pm.

TANAH INI TANAH KITA

TANAH INI TANAH KITA

Tanah ini tanah kita
kita yang menebang hutannya
kita yang memerun semuanya
kita yang menggemburkannya
hinggakan terang benderang
dan kita juga yang menyemai
benih-benih kehidupan di sini
hingga menjadi akar tunjang
yang membelit seluruh tubuh kita
menjadi jitu.

Tanah ini tanah kita
bukan hanya dengan keringat dan airmata
tetapi dengan darah dan nyawa sekalipun
wajib kita pertahankan
agar anak cucu kita nanti
tidak dikatakan
merempat di tanah sendiri
atau meminta sedekah
di tanah yang kita katakan
tanah kita.

Qalam Bertinta
15112012
1307pm.

SETIAKU MASIH DI SINI


SETIAKU MASIH DI SINI

Andai tangisan bisa membuatkan kautenang
menangislah sepuasmu
biarkan semua kesalmu
mengalir bersama disetiap titis airmatamu
dan di sini
aku setia menantimu
untuk kauhulurkan sebait senyum
kerana sesungguhnya
menunggumu
bukan satu penyiksaan bagiku.

Qalam Bertinta
15112012

SENDIRI DALAM KEPAYAHAN


SENDIRI DALAM KEPAYAHAN

Di sini
di kala senja mula mengiraikan sayapnya
aku sendirian dalam kepayahan
mengheret semua kepedihan
yang kautinggalkan
bersama rinai airmata
yang tak pernah usai.

Bertemankan sepi
aku membilang hari-hari suramku
dalam bayangan kenangan
lalu membawa aku
ke daerah yang penuh duka
cuba berselindung di sebalik senyum
namun tawar…setawar cinta yang kauberikan.

Dan di penghujung sepi ini
semakin aku sedari
sendiri adalah teman setiaku
menemani pada setiap jaga dan lenaku
pun rinduku semakin membias
hilang bersama rasa cintaku
cinta yang telah kusemadikan
buat selama-lamanya.

Dan airmataku semakin melaju!... .

Qalam Bertinta
04112012
1901pm



SELAMAT PAGI


SELAMAT PAGI

Selamat pagi!
biarkan hening pagi
memulakan harimu
dengan memanjatkan syukur pada Ilahi
kerna memberimu kesempatan
untuk merasai dingin dan nyamannya pagi
bagi sehari lagi dalam hidupmu.

Selamat pagi!
biarkan mulusnya angin pagi
membaluti seluruh tubuhmu
agar kedinginannya memberikan kausemangat
untuk kaumeneruskan kembali
akan apa yang kautinggalkan semalam.

Selamat pagi!
biarkan semangatmu pagi ini
memberikan tekad dan usaha
untuk kauterus menjalani hari-harimu
dengan rasa tawadduk dan terima kasih
kepada Penciptamu
yang menaungi setiap saat
akan hidupmu.

Qalam Bertinta
11112012
0839am