Wednesday, 25 July 2012

MIMPI CINTA, MIMPI KITA


MIMPI CINTA, MIMPI KITA

Kubisikkan kata cinta di telingamu
Pada hari-hari lewatku
Dan tika bening matamu
Meredup dalam usapan kataku
Lalu ingin aku sandarkan rindu ini
Di penjuru kasihmu
Pun renungan itu aku
Yang membilang satu persatu
Huruf-huruf cinta
Yang kau susun menjadi lagu
Lagu cinta antara kita
 
Pada redupan bianglala ini
Ada puncak syukur kudirikan
Akan anugerah yang diberikan ini
Lalu kuhimpunkan menjadi janji
Dan setia itu aku
Yang teguh di juzuk cinta
Hinggakan malam pun seakan malu
Masih enggan menurunkan tabirnya
Seakan membiarkan warna-warna jingga
Berserakan menyinari laman senja
Yang semakin panjang
Semakin menyirna

Dan lenaku masih bersambung mimpi
Mimpi rindu, mimpi cinta dan mimpi kita…!

Qalam Bertinta
24072012
1709pm





SEINDAH DERITA


SEINDAH DERITA

Aku cuba mencari
Sesuatu yang pernah kumiliki
Yang kini hilang berserpihan
Menebar di segenap arah
Ketika cuba memapah harapan
Yang longlai di pelukan semalam
Di saat kenangan enggan bertandang
Merajuk di balik langsir kelabu
Dan kelabu itu kecewaku

Aku masih mendamba
Sebuah bahgia di garis derita
Yang cuba kulakar
Dengan bait senyum pasrah
Ketika mataku masih basah
Dengan mainan airmata
Menyambut setiap ungkapanmu
Yang hujungnya kau titikkan
Dengan titik berdarah
Dan saat parah menjernih luka
Masih belum berakhir
Dan merah itu kelukaan ku

Cuba kupayungi
Semua cerita sendu itu
Dengan payung tawaku
Biar sesukar mana mengertimu
Ianya telah hilang akan maknanya
Kerana tiada apa lagi yang dapat kuharapkan
Andai kau enggan memberi
Warna-warna kebahgiaan
Yang boleh kuwarnakan
Di kanvas kehidupanku
Agar dapat kuselami
Arti seindah derita
Di balik selarik tawa

Qalam Bertinta
28/03/2012
12:13noon

BILA QALAMKU MULA MENARI


BILA QALAMKU MULA MENARI

Bila ilhamku mula menyapa
Maka qalamku pun akan mula menari
Melakar huruf-huruf roman
Satu persatu dan baris ke baris
Untuk kuterjemahkan semuanya
Dalam bait sebentuk puisi
Bila qalamku mula menari
Setiap sudut ruang akan ku isi
Dengan puisi berbagai genre
Cinta, kehidupan, alam dan politik
Tanpa minta untuk dipuji
Pun bukan juga untuk dicaci
Sekadar menghargai bakat puisi
Walaupun hanya seinci

Dan bila qalamku terus menari
Aku juga akan menari
Menari dengan sepenuh hati
Biarpun tanpa irama
Ianya tidak akan terhenti
Kerana tariku
Sekadar tarian puisi

Qalamku masih terus menari…!
 

ANDAI SEMALAM MILIKKU


ANDAI SEMALAM MILIKKU

Andai semalam masih aku miliki
Pastinya hari ini kita masih lagi bersama
Menyusun setiap aksara cinta kita
Yang di payungi dengan warna-warna bianglala
Dan kita jaga setiap huruf yang ada
Agar tidak kabur dibasahi tetes embun
Aku pun di situ…bersandar di bahumu
Sambil menatap akan teduh sinar matamu
Dan menghitung setiap kata cintamu
Untuk kubukukan di perpustakaan hati ini
Moga akan dapat kuulang semula setiap katamu
Ketika rindu mula bertandang

Andai semalam masih aku miliki
Pastinya hari ini kita masih lagi bercanda
Menyusur kebahgiaan sambil berpimpin tangan
Menghitung setiap kuntum bunga tanjung yang jatuh
Dan kuanyam satu persatu kuntuman itu
Untuk kujadikan kalongan di lehermu
Biar keharumannya akan terus mewangi
Sewangi cinta kita yang tidak pernah terhijab
Di antara pandanganku dan pandanganmu
Dan kita satukan semua keindahannya
Bersama setiap rasa yang kita ada
Dalam relung hati kita yang paling dalam

Namun semalam bukan milikku…!