Tuesday, 24 July 2012

AKU SEMAKIN MENGERTI


AKU SEMAKIN MENGERTI

Sepertinya baru tersedar dari mimpi
Setelah sekian lama kuyakini
Dengan kepercayaanku yang tidak pernah tersangsi
Bahawa kau akan lebih mengerti
Akan setiap yang telah kuperdengari
Seiring dengan airmataku sendiri
Airmata seorang lelaki bernama suami

Kutatap satu persatu
Akan setiap baris yang kau gubah
Menjadi susunan madahmu yang indah
Sedangkan perasaan ini
Telah kau biarkan berdarah
Dengan sendaanmu yang telah menggugah
Nurani seorang lelaki yang kini hanya pasrah

Kini semakin kumengerti
Airmata ini masih tidak mampu tuk mengubah
Akan setiap anggapanmu pada sebarang tingkah
Sedangkan jauh di dalam hati ini
Kasihsayang dan cintaku tidak pernah berubah
Dari saat kau kukenali hinggalah kau kunikahi
Dan sehingga jasadku kaku sebagai jenazah

Aku semakin mengerti
Semuanya mungkin tidak lagi kau hargai…!

QALAM BERTINTA
26/05/2012
07:29AM

AIRMATA KERINDUANKU


AIRMATA KERINDUANKU

Terasing di sepi itu
Aku mengenangmu
Dalam getaran rindu yang maha hebat
Menghentam di segenap rongga tubuhku
Menyesakkan tiap aliran nafasku
Dan di bening mata itu
Titisan jernih mula menceritakan
Akan arti  sebuah tangisan
Seorang lelaki bernama aku

Mengertikah kau kekasih
Arti tangisan seorang lelaki
Yang egonya terlalu tinggi untuk setadah airmatanya
Bagi seorang insan yang bernama perempuan
Pun di penjuru sepi itu
Keegoanku lerai bersama nyalaan rindu
Rindu yang tidak dapat diungkapkan
Dengan kata-kata biar setinggi cemara pun
Atau setinggi sombongnya camar di celah awan

Dengan sendu yang masih lagi tertahan
Rantaian airmata ini masih ada
Menjadi sungai ke penjuru bibirku
Berserak bersama helaan nafas panjangku
Ketika rinduku masih tidak bersisa
Berlari menuju ke beranda pelangi
Untuk melaungkan pesan padamu
Batapa di sini ada seorang lelaki
Yang tewas dengan airmata kerinduannya

Dan rindunya pun turut menangis…!

QALAM BERTINTA
22/05/2012
02:17AM
 

NOVELKU BERTINTAKAN AIRMATA


NOVELKU BERTINTAKAN AIRMATA

Kulakarkan semua cerita ini
Dalam sendu yang panjang...berseorangan
Tanpa sesiapa menemani
Apa lagi untuk menangis... bersamaku
Jauh sekali untuk mengerti
Arti keterlukaan…menyiksakan
Yang saban hari kutempuhi
Demi sebuah cinta
Yang telah kusimpul erat
Sampai ke mati

Kutuliskan semuanya tentang kelukaanku
Dalam jilid novel
Yang kutintakan dengan airmataku
Di kajang hati yang semakin suram
Membinar pada setiap aksara
Dan kususun satu persatu
Pada titik terakhirnya
Seperti kutemui jawapan pasti
Arti sebuah kerinduan
Yang terlalu sukar untuk ditemankan

Dan di muka surat terakhirnya
Aku masih sendirian di sini...!

Qalam Bertinta
09/06/2012
12:29PM